Saturday, September 12, 2009

PERASAN PANDAI

Perasan Pandai…
Memasak menjadi satu daripada hobiku. Aku mula memasak ketika usiaku sepuluh tahun. Masakan pertamaku berupa asam pedas rebus yang menjadi kegemaran arwah ayahku. Kembang hidungku apabila menerima pujian ayah yang anak gadisnya sudah pandai masak.
Cerita yang inginku kongsikan ini berlaku ketika usiaku 15 tahun. Waktu itu aku memang gila masak sikit. Maalum la hendak ambil LCE. Aku ambil Home Science. Masak sakanla aku. Agar-agar santan gula melaka menjadi kegemaranku. Tapi aku tidak pernah memasaknya sendiri. Oleh kerana teringin hendak makan dan rasa hasil tangan sendiri, aku pun mengayuh basikal ke kedai membeli bahan-bahan seperti agar-agar, kelapa dan gula melaka. Hendak tunjuk pandai, selepas aku balik dari kedai aku terus ke dapur untuk masak kononnya. Tanpa bertanya sukatan air, akupun memasaknya. Dalam hati aku berkata, senang aje masak agar-agar ini. Sombong kononnya. Nak tunjuk pandai.
Setelah siap, agar-agar yang aku masak tadi aku tuang ke dalam loyang. Akupun gembira, bila agar-agar tu sejuk nanti bolehlah aku makan. Tunggu punya tunggu agar-agar tu tak juga keras walaupun sudah sejuk. Aku pun berfikir bagaimana nak mengeraskan agar-agar santan ni. Ha… aku dapat satu idea. Aku pun angkat loyang agar-agar tadi lalu masukkan dalam peti sejuk. Rupa-rupanya idea aku itu berjaya. Agar-agar santan tadi keras. Syoknya aku. Aku pun memotongnya dan menghidangkan untuk emak dan teman rapatnya yang kebetulan berkunjung ke rumah pada petang itu.
Emm… sedap, puji emak. Apa lagi kembanh hidung aku senyum. Malangnya apabila agar-agar santan sejuk tadi menjadi cair semula apabila berada dalam suhu bilik. Agar-agar itu berair dan tidak dapat dipegang untuk disuap ke dalam mulut. Apabila emak aku bertanya, kenapa jadi begini, dengan selamba aku menjawab, entah… dalam hati ya Allah malunya aku pada kawan emak. Emak aku menjegilkan biji matanya lalu bertanya berapa sukatan air yang aku masukkkan semasa memasak agar-agar tadi. Lalu aku pun menjawab, “tak disukatpun main masuk saja”.
Itulah akibatnya perasan pandai sangat. Yang mudahpun tidak menjadi. Peristiwa itu menjadi ingatan dan kenangan dalam hidupku. Sejak hari itu, aku sentiasa pahatkan di hati bergurulah jika hendakkan hasil yang baik.