Saturday, September 12, 2009

PERASAN PANDAI

Perasan Pandai…
Memasak menjadi satu daripada hobiku. Aku mula memasak ketika usiaku sepuluh tahun. Masakan pertamaku berupa asam pedas rebus yang menjadi kegemaran arwah ayahku. Kembang hidungku apabila menerima pujian ayah yang anak gadisnya sudah pandai masak.
Cerita yang inginku kongsikan ini berlaku ketika usiaku 15 tahun. Waktu itu aku memang gila masak sikit. Maalum la hendak ambil LCE. Aku ambil Home Science. Masak sakanla aku. Agar-agar santan gula melaka menjadi kegemaranku. Tapi aku tidak pernah memasaknya sendiri. Oleh kerana teringin hendak makan dan rasa hasil tangan sendiri, aku pun mengayuh basikal ke kedai membeli bahan-bahan seperti agar-agar, kelapa dan gula melaka. Hendak tunjuk pandai, selepas aku balik dari kedai aku terus ke dapur untuk masak kononnya. Tanpa bertanya sukatan air, akupun memasaknya. Dalam hati aku berkata, senang aje masak agar-agar ini. Sombong kononnya. Nak tunjuk pandai.
Setelah siap, agar-agar yang aku masak tadi aku tuang ke dalam loyang. Akupun gembira, bila agar-agar tu sejuk nanti bolehlah aku makan. Tunggu punya tunggu agar-agar tu tak juga keras walaupun sudah sejuk. Aku pun berfikir bagaimana nak mengeraskan agar-agar santan ni. Ha… aku dapat satu idea. Aku pun angkat loyang agar-agar tadi lalu masukkan dalam peti sejuk. Rupa-rupanya idea aku itu berjaya. Agar-agar santan tadi keras. Syoknya aku. Aku pun memotongnya dan menghidangkan untuk emak dan teman rapatnya yang kebetulan berkunjung ke rumah pada petang itu.
Emm… sedap, puji emak. Apa lagi kembanh hidung aku senyum. Malangnya apabila agar-agar santan sejuk tadi menjadi cair semula apabila berada dalam suhu bilik. Agar-agar itu berair dan tidak dapat dipegang untuk disuap ke dalam mulut. Apabila emak aku bertanya, kenapa jadi begini, dengan selamba aku menjawab, entah… dalam hati ya Allah malunya aku pada kawan emak. Emak aku menjegilkan biji matanya lalu bertanya berapa sukatan air yang aku masukkkan semasa memasak agar-agar tadi. Lalu aku pun menjawab, “tak disukatpun main masuk saja”.
Itulah akibatnya perasan pandai sangat. Yang mudahpun tidak menjadi. Peristiwa itu menjadi ingatan dan kenangan dalam hidupku. Sejak hari itu, aku sentiasa pahatkan di hati bergurulah jika hendakkan hasil yang baik.

Thursday, August 27, 2009

SELOKA DI HATI

Dr. Normaliza nama diberi
orangnya kecil molek lagi
belum kenal garang sekali
bila kenal aduh baiknya hati

Kelas multimedia kami pelajari
malam Selasa kami hadiri
mula-mula pening kepala kami
lama-lama kami amat minati

Terima kasih Dr yang dikasihi
moga diberkati oleh Ilahi
ICT yang tidak kami kenali
kini jadi kegilaan kami

Tugasan diberi berat sekali
untuk sudahi ICT dilayari
demi ilmu kami penuhi
menjadi impian kegemilangan kami

Terima kasih ilmu dicurahi
halalkan ilmu untuk kami
moga diberkati ilmu dipelajari
jadi kemudahan di kemudian hari

Terima kasih sekali lagi
Terima kasih daun keladi
Terima kasih Dr. yang dihormati.

Monday, August 24, 2009

BELADA HIDUP

Bisa kulukis sebuah ilusi
dengan hati
ketika batu-batu ini
penuh kerikil
melukai hati
aku tak mungkin
menyebutkan baldu

Dipahat dewata arcamu
dengan secebis kemuliaan
Anbia
dengan selembut simponi kasih

Kadangkala
sedegil batu-batu karang
menerima musim
senanar angin yang tiba-tiba bosan
dan
diriku yang luka
masih terbelit
di rambutmu

Pengakhirannya
sebuah keraguan
bermain di umbut masa
bersama musim pergi
yang pernah
mengutip segala sisa-sisa pedih
bersamakepudaran waktu
yang terus bertindih

Sunday, August 16, 2009

Secebis Impian Sepi

Di kala daku coretkan,
Sebuah memori pilu,
Anak dagang perantau biasa,
Mulalah ia ...
Mengorak langkah membuka bicara.

Di keheningan malam nan syahdu,
Tika merimbunnya dendam pilu,
Pabila butir-butir embun mula membentuk,
Daku capai kalam biru,
Lantas daku coretkan bait-bait puisi,
Biarpun berat rasanya ...
Di tengah-tengah kemelut anak bangsa Melayu.

Betapapun daku selami lautan ilmu,
Takkan terdaya bagiku ...
Bagi mencari satu rumusan yang kreatif,
Agar daku dapat selesaikan satu persoalan,
Apakah punca sebenarnya?

Bangsaku ...
Yang dulunya terbilang
Dengan kegagahan dan kegemilangan
Tetapi kini ...
Di manakah hilangnya kemahkotaan itu.

Adakah sudah luput ditelan dek zaman
Atau adakah telah dirampas?
Maka ...
Dari tika inilah,
Wahai anak watan pembela bangsa,
Kita wajar berdiri dan mara bersama,
menebus kembali maruah bangsa.

Mari Berpantun

Cantik sungguh Kota Bali
Singgah sebentar membeli jambu;
Hudup menderhaka jangan sekali,
syurga di bawah tapak kaki ibu.

Lada hitam dibuat jamu,
Untuk dijual di negara China:
Kita diajar menuntut ilmu ilmu,
Agar menjadi orang berguna.

Anak muda berkaca mata,
Sungguh kacak lagi bergaya;
Bukan harta yang mereka minta,
Hati gembira apabila anak berjaya.

Indah sungguh di hari raya
Dapat makan kuih belaka;
Apabila hidup sudah berjaya,
Janganlah lupa jasa mereka.

Tuesday, August 11, 2009

Rahsia panjang umur

Ramai insan sentiasa berdoa agar dipanjangkan umur mereka. Apa yang diharapkan agar panjang umur dalam ketaatan, bukan dalam kemurkaan dan kemaksiatan.

Termasuk dalam erti kata panjang umur juga ialah nama seseorang itu masih disebut walaupun sudah lama meninggal dunia, seperti ulamak-ulamak, dermawan dan mereka yang meningga jasa semasa hayatnya.

Di antara amalan-amalan tertentu yang dilakukan untuk dipanjangkan umur dengan keizinan Allah s.w.t ialah
1 Berdoa
2 Bersedekah
3 Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa
4 Berkahwin dengan wanita yang masih dara
5 Tidur miring ke kiri (mengadap ke kiblat)
6 Mandi dengan air mengalir
7 Makan buah kismis di waktu pagi hari

Tuesday, April 21, 2009